Wednesday, January 20, 2010

Fiqh Solat ( Bacaan Al-Fatihah )


Fiqh Solat ( Bacaan Al-Fatihah )

Assalamu 'alaikum.

Para ulamak berikhtilaf dalam masalah; adakah makmum juga wajib membaca al-Fatihah di belakang imamnya?

1. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; makmum wajib membaca al-Fatihah sebagaimana imamnya juga sama ada dalam solat/rakaat yang dibaca perlahan atau di baca kuat, yakni bacaan al-Fatihah imam tidak memadai untuknya.

2. Menurut mazhab-mazhab yang lain (Hanafi, Maliki dan Hanbali); makmum tidak wajib membaca al-Fatihah di belakang imamnya, yakni memadai bacaan imam untuknya atau dalam pengertian yang lain; imam telah menanggung bacaan untuknya, jadi tidak wajib lagi ia membacanya. Cuma sebahagian mereka mensunatkan makmum membacanya dalam solat/rakaat yang tidak dibaca kuat (oleh imam) atau jika makmum tidak dapat mendengar bacaan imamnya.

Merujuk kepada masalah di atas, apabila imam telah ruku’ dan kita belum selesai membaca al-Fatihah, mengikut pandangan jumhur; hendaklah kita terus ruku’ bersama imam dan tidak perlu kita berusaha menghabiskan bacaan Fatihah kita kerana ia telah ditanggung oleh Imam kita.

Namun jika pandangan Imam Syafi’ie yang kita ikuti, wajiblah kita menghabiskan juga fatihah kita sebelum ruku’ kerana Fatihah wajib atas makmum sebagaimana wajib atas imam. Untuk dikira rakaat kita bersama imam, kita hendaklah ruku’ sebelum imam bangun dari sujud yang kedua. Ini kerana menurut mazhab Syafi’ie, makmum –atas sebab keuzuran (yakni lambat dalam bacaan)- hanya diizinkan untuk ketinggalan dari imamnya setakat tiga rukun panjang sahaja.[1] Jika kita masih belum selesai membaca al-Fatihah sedangkan imam telah pun bangun dari sujud keduanya, maka tidak perlu lagi kita ruku’, sebaliknya kita menunggu imam di rakaat berikutnya dan meneruskan solat bersama imam seperti biasa, kemudian apabila imam memberi salam kita pun menambah rakaat yang ketinggalan itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, 1/394.
2. al-Fiqh al-Manhaji, 1/81.
2. 60 Hadis Sifat Solat Nabi, Us. Ahmad Adnan Fadzil


[1] Iktidal dan duduk antara dua sujud adalah rukun pendek. Adapun ruku’, sujud pertama dan sujud kedua adalah rukun panjang. Jadi, apabila makmum masih belum ruku’ tatkala imamnya telah bangkit dari sujud kedua, maka ia telah ketinggalan dari imamnya melebihi tiga rukun panjang, iaitu; ruku’, sujud pertama dan sujud kedua.

Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil
Wawasan Ummah Enterprise

No comments:

Post a Comment